Sunday, April 10

Syiah dan Sahabat (Part VI ; Asad Haydar)

Sahabat Mengikut Batas Kitab Dan Sunnah

Adakah Syi'ah melampaui batas al-Qur'an dan Sunnah apabila mereka mengkritik perbuatan-perbuatan sebahagian sahabat yang terang-terang bertentangan dengan nas, tidak ada ruang untuk ditakwil dn dikompromikan?

Kerana pada umumnya sahabat tidak diberikan "kekuasaan pengurusan" di dalam hukum-hukum. Dan mereka pula tidak boleh menyalahi batas-batas hukum. Kerana ijtihad yang menyalahi nas (al-Qur'an dan Sunnah)[48] adalah suatu penolakan terhadap hukum. Dan membelakangi al-Qur'an itu sendiri.

Disebabkan kebanyakan sahabat baru memeluk Islam, adalah menjadi lumrah mereka dijinakkan dengan perkara-perkara tertentu. Dan tabiat itu sukar diatasi dengan cepat. Mereka itu tidak semuanya setanding, kerana terdapat di kalangan mereka yang menerima Islam lebih awal. Dan sesiapa yang kuat imannya akan menyibarkan Islam dan membawa "bendera keadilan", dengan niat yang betul. Dan berhijrah dengan iman yang suci. Nabi SAWA bersabda:

"Sesungguhnya amal perbuatan itu (dikira) dengan niat(niyat)nya, sesungguhnya setiap orang itu (dikira) apa yang ia niatkan. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Dan sesiapa yang berhijrah untuk dunia yang ditujukan kepada wanita yang ia akan mengahwininya, maka hijrahnya itu kembali kepada niat hijrahnya." [49]

Mereka bertanya: "Wahai Rasulullah! Adakah kami akan diambil kira dengan apa yang kami lakukannya di (masa) jahiliyyah?" Maka Rasulullah SAWA menjawab:"Adapun sesiapa yang telah melakukan kebaikan daripada kamu di dalam (masa) Islam maka ia tidak akan diambilkira dengannya (amalannya di masa jahiliyyah) dan sesiapa yang melakukannya (di masa Islam) akan diambilkira (amalannya) di masa jahiliyyah dan Islam."[50]

Riwayat daripada Sahib berbunyi:

"Tidak beriman dengan al-Qur'an orang yang menghalalkan apa yang diharamkanNya."[51]

Ibn Umar berkata: Rasulullah SAWA menaiki mimbar masjid, lalu beliau menyeru dengan suara yang lembut: "Wahai kumpulan orang yang beriman dengan lidahnya, imannya tidak sampai ke hatinya, janganlah anda menyakiti Muslimin, memalukan mereka, mencari keaiban mereka. Sesiapa mencari keaiban saudara Muslimnya, nescaya Allah akan mendedahkan keaibannya. Dia akan mendedahkan sekalipun dia berada di dalam "perjalanannya" yang jauh."[52]

Demikian betapa jelasnya kepada kita hadith-hadith Nabi SAWA dan ayat-ayat al-Qur'an yang menunjukkan bahawa manusia adalah sama di hadapan hukum-hukum Allah SWT sama ada sahabat atau tidak. Dan untuk menentukan keadilan adalah bergantung kepada perbuatan individu. Tidak ada ertinya keadilan tanpa amal.

Sahabat sepatutnya melakukan keadilan lebih ketara lagi. Pendapat yang mengatakan ijtihad mereka adalah mutlak, menghadapi kesukaran di dalam menentukan keadilan. Hasilnya menjadi beku dan tidak memberi erti banyak faedah. Kerana melakukan ta'wil ketika wujudnya nas bermakna menolak hukum (yang ditetapkan oleh nas). Oleh itu tidaklah sah mereka menakwilkannya kerana ianya bercanggah dengan zahirnya. Kemudian mereka pula mengharuskan (bagi mereka) menyalahi zahirnya. Kerana hukum adalah sama
bagi manusia untuk menentukan keadilan mereka. Justeru itu tiada siapa pun yang boleh untuk tidak mematuhinya atau tidak melaksanakannya.

Bagi kami politik Imam Ali bin Abi Talib dan sirahnya pada masa khalifah-khalifah yang terdahulu daripadanya dan masa pemerintahannya adalah menjadi bukti yang kuat kepada apa yang kami perkatakan. Beliau melaksanakan hukum had ke atas orang yang melampaui hudud Allah dan menilai seseorang pengikut perbuatannya. Jika seseorang itu besar kedudukannya di sisi Allah, maka besarlah kedudukannya di sisinya. Berapa banyakkah beliau menyeru orang yang mereka namakan sahabat, telah menyalahi Kitab Allah dan Sunnah RasulNya dan memeranginya pula? Beliau mengisytiharkan dirinya bersih daripada mereka malah mengisytiharkan cacian beliau ke atas sebahagian mereka di atas mimbarnya kerana mereka menyalahi Kitab Allah dan Sunnah NabiNya SAWA.

Sesiapa yang mengkaji perjanjian-perjanjian Imam Ali AS dengan pegawai-pegawainya, wasiat-wasiatnya kepada pemerintah-pemerintah angkatan tenteranya, dan surat-suratnya kepada gabenor-gabenornya,[53] nescaya dia akan dapati betapa tidak betulnya kata-kata bahawa semua sahabat adalah adil, sekalipun mereka melakukan apa yang telah diharamkan Allah SWT.
Kita tidak berpeluang untuk membicarakan tentang sirah Imam Ali AS dengan panjang lebar ketika kita membicarakan sahabat. Walau bagaimanapun sahabat-sahabat Muhammad SAWA mestilah menjauhi apa yang dilarang oleh Allah Ta'ala, berhidayah dengan hidayah RasulNya, dan tidak membuka peluang kepada sesiapapun untuk menakwil bagi menentang nas. Kerana ijtihad mempunyai syarat-syarat. Semoga kisah Qadamah sebaik-baik bukti bagi menjelaskan perkara ini.

Syiah dan Sahabat (Part V ; Asad Haydar)

Berbagai pendapat mengenai definisi sahabat [42] telah dikemukakan. Ada pendapat yang mengatakan, "Sesiapa yang bersahabat dengan Nabi SAWA atau melihatnya daripada orang-orang Islam, maka ia adalah (tergolong) daripada sahabat-sahabatnya."

Definisi inilah yang dipegang oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya.[43]

Sementara gurunya Ali bin al-Madini berpendapat, "Sesiapa yang bersahabat dengan Nabi SAWA atau melihatnya, sekalipun satu jam di siang hari, adalah sahabatnya."

Definisi ini meliputi orang yang murtad pada masa hidup Nabi SAWA, dan selepasnya. Walau bagaimanapun setiap orang mempunyai pendapatnya sendiri, sekalipun ianya tidak masuk akal. Kerana al-Riddah (kemurtadan) itu menghapuskan amal. Lantaran itu "nama sahabat" tidak ada tempat baginya. Pendapat ini disokong oleh al-Syafi'i di dalam al-Umm.[44]

Manakala al-Zain al-Iraqi berkata: "Sahabat adalah sesiapa yang berjumpa dengan Nabi sebagai seorang Muslim, kemudian mati di dalam Islam."

Said bin Musayyab berpendapat, "Sesiapa yang tinggal bersama Nabi selama satu tahun atau
berperang bersamanya satu peperangan."

Pendapat ini tidak boleh dilaksanakan kerana ianya mengeluarkan sahabat-sahabat yang tinggal kurang daripada satu tahun bersama Nabi SAWA dan sahabat-sahabat yang tidak ikut berperang bersamanya.

Ibn Hajar berkata:"Definisi (sahabat) tersebut tidak boleh diterima."[45]

Ibn al-Hajib menceritakan pendapat 'Umru bin Yahya yang mensyaratkan seorang itu tinggal bersama Nabi dalam maa yang lama dan "mengambil (hadith) daripadanya.[46]

Ada juga pendapat yang mengatakan:"Sahabat adalah orang Muslim yang melihat Nabi SAWA dalam masa yang pendek. Walau bagaimanapun definisi-definisi tersebut menegaskan bahawa sesiapa yang mendengar daripada Nabi SAWA atau melihatnya daripada orang Islam secara mutlak mereka semuanya adil - mengikut pendapat mereka - dan mereka pula adalah Mujtahidin.

Inilah titik perbezaan pendapat mengenai sahabat. Justeru itu Syi'ah tidak menetapkan keadilan (al-'adalah) kepada sahabat melainkan kepada mereka yang benar-benar berhaknya: tidak ada dalil atau bukti bahawa setiap sahabat itu adil dan mujtahid. Lantaran itu ianya tidak boleh dipastikan. Syi'ah mengkaji perbuatan-perbuatan mereka dengan fikiran terbuka, dan menilai setiap sahabat, dengan berdasarkan perbuatan-perbuatannya. Syi'ah tidak menyalahi Kitab Allah, Sunnah RasulNya dan amal Salaf al-Salih di dalam menilai mereka mengenai perbezaan darjat sahabat dan orang yang benar-benar berhak nama sahabat. Lantaran itu tidak hairanlah jika Syi'ah dikecam dengan berbagai kecaman dan tuduhan yang direncanakan oleh musuh-musuh mereka. Jikalaulah di sana datangnya keinsafan, terbukanya fikiran, berdasarkan
hakikat, nescaya tuduhan-tuduhan itu tidak berlaku dan permasalahan-permasalahan dapat diselesaikan.

Apa yang anehnya ialah menuduh Syi'ah mencaci sahabat dan melaknat semua sahabat. Sedangkan mereka dikenali sebagai orang yang patuh kepada Ali AS, membantunya di dalam peperangan menentang penderhaka-penderhakanya, mereka adalah sebaik-baik umat.


Penghormatan Syi'ah Terhadap Sahabat


Syi'ah menghormati sahabat-sahabat Muhammad SAWA yang diuji dengan ujian yang baik di dalam membantu agama Islam, yang berjuang dengan jiwa raga dan harta mereka.

Sesungguhnya doa yang dibaca oleh Syi'ah untuk sahabat-sahabat Muhammad SAWA adalah bukti yang nyataa menunjukkan penghormatan dan kasih sayang mereka yang ikhlas.

Ya! Sesungguhnya Syi'ah berdoa kepada Allah untuk pengikut-pengikut para rasul secara umum dan sahabat-sahabat Muhammad SAWA secara khusus mengikut apa yang mereka warisi daripada imam-imam mereka yang al-Tahirin.

Di antara doa yang paling masyhur ialah doa Imam Ali Zainal al-Abidin AS sebagaimana tertulis di dalam Sahifah [47]nya yang dikenali dengan Zabur Muhammad:

"....Wahai Tuhanku cucurilah rahmatmu ke atas sahabat-sahabat Muhammad secara khusus, yang baik persahabatannya, yang telah diuji dengan ujian yang baik di dalam pertolongannya. Dan yang telah membantunya. Dan bersegera untuk menyambutkan, berlumba-lumba kepada seruannya. Dan yang menyahut seruannya sebaik sahaja dia memperdengarkan mereka hujah perutusannya. Dan yang telah ditinggalkan oleh suku keluarga kerana mereka berpegang dengan ikatannya, sehingga terlepas daripada mereka hak kerabat, kerana mereka berada di bayangan kekerabatannya (Muhammad SAWA). Wahai Tuhanku! Mereka tidak tinggal apa lagi untukMu dan padaMu, REDHAILAH mereka kerana KEREDHAANMU dan dengan apa yang mereka telah mempertahankan kebenaran ke atasMu. Mereka melakukan semua itu adalah untukMu dan kepadaMu. Dan aku berterima kasih kepada mereka kerana penghijrahan rumahtangga mereka kepadaMu dan keluarnya mereka daripada kesenangan hidup kepada kesusahannya...."


Mereka itu adalah sahabat-sahabat Muhammad SAWA yang dihormati oleh Syi'ah. Keluarga Muhammad SAWA terhutang budi kepada mereka. Mereka mengambil pengajaran Islam daripada sumber yang betul datangnya dari mereka (Ahlul Bayt).

Tetapi permainan politik dan api permusuhan di kalangan puak-puak telah melahirkan banyak permasalahan di masa lalu, di mana puak-puak tertentu bangkit untuk menyibarkan fitnah kerana cintakan kuasa dan tamak kepada pengaruh secara devide and rule (pecah dan perintah).
Ringkasnya zaman permainan politik sedemikian rupa, tidak begitu ketara lagi.

Kerana kita sekarang berada di zaman kebebasan pemikiran dan kemajuan. Adakah wajar bagi kita meneruskan kefanatikan tersebut? Dan bergembira dengan rancak kepuakan? Sedangkan kita jauh dari kenyataan dengan mengabaikan tanggungjawab kita bersama untuk menentang musuh-musuh Islam. Mereka menghalakan kepada kita segala bentuk pemikiran dan prinsip
yang rosak.

Alangkah baiknya kata-kata kesat tanpa kebenaran yang digunakan oleh orang-orang yang lemah akal dan mempunyai pandangan yang sempit Ahl al-Jumud dikikiskan terutamanya apabila mereka menulis tentang Syi'ah. Tidakkah ianya suatu kebenaran jika mereka mengkaji dakwaan mereka dengan teliti?

Sesungguhnya menuduh Syi'ah mencaci sahabat dan mengkafirkan mereka secara umum adalah tuduhan yang palsu, patuh kepada asabiyyah kepuakan yang berasaskan waham dan kebatilan.

Friday, April 8

Syiah dan Sahabat (Part IV ; Asad Haydar)


Keumuman Sahabat & Keistimewaan mereka

Di kalangan Sahabat, ada yang termasuk dalam golongan munafiq, orang yang melakukan fitnah dan orang yang menukarkan perkara-perkara tertentu bagi Rasulullah . Mereka melakukan penipuan sehingga datangnya kebenaran, dan perintah Allah, lalu mereka membencinya. Terdapat di kalangan mereka yang menyakiti Rasulullah dan disifatkan oleh Allah di dalam firmanNya yang bermaksud: "Di antara mereka ada yang menyakiti Nabi dan mengatakan: Nabi mempercayai semua apa yang di dengarnya."[6]

Dan firmanNya: "Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan RasulNya, Allah akan melaknatinya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan baginya seksa yang menghinakan."[7]

"Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu bagi mereka azab yang pedih."[8].

Terdapat di kalangan mereka penipu-penipu dan orang yang menzahirkan keimanan. Allah menyifatkan mereka di dalam firmanNya : "Di antara manusia ada yang mengatakan:Kami beriman kepada Allah dan Hari Kemudian; padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman;
padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar."[9]

"Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan "kami telah beriman." Dan bila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka mereka mengatakan: Sesungguhnya kami berpendirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok."[10]

"Dan di antara mereka ada orang yang telah berikrar kepada Allah: Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurniaNya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang-orang yang soleh. Maka setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari kurniaNya, mereka kikir dengan kurnia itu, dan berpaling, dan mereka
memanglah orang-orang yang selalu membelakangi (kebenaran). Maka Allah menimbulkan kemunafiqan pada hati mereka sampai kepada waktu mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri terhadap Allah apa yang mereka telah ikrarkan kepadaNya dan juga kerana mereka selalu berdusta."[11]

Wal-hal sahabat mempunyai kedudukan yang tinggi. Secara umumnya ianya mengandungi orang yang telah diuji hatinya dengan keimanan, keikhlasan terhadap Allah, berjuang dengan gigih dan telah mencapai darjat kesempurnaan diri. Maka mereka itu menjadi contoh bagi kemuliaan akhlak iaitu mereka yang takut kepada Allah dan mematuhi segala suruhanNya.

Sebagaimana firmanNya: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal (iaitu) orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka."[12]

Sebagaimana juga sahabat tidak termasuk orang yang imannya tidak memasuk hatinya.

FirmanNya:

"Mereka mengucapkan dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya."[13]

Oleh itu sahabat tidak maksum (terpelihara daripada dosa) sama ada pada masa hayat Nabi SAWA atau selepasnya. Terdapat sebuah Hadith dengan sanadnya diriwayatkan oleh Abu Abdullah al-Ansari daripada Abu Darda'. Dia berkata: Aku bertanya wahai Rasulullah sesungguhnya telah sampai kepadaku Hadith anda yang berbunyi:

"Akan murtad beberapa golongan selepas mereka beriman? Rasulullah SAWA menjawab: Ya! Tetapi anda bukanlah daripada mereka."[14]

Apa yang aneh ialah terdapat setengah orang memberikan alasan bahawa maksud dengan orang yang murtad itu ialah oang yang telah membunuh Uthman. Sedangkan Abu Darda' telah meninggal dunia sebelum pembunuhan Uthman. Ini memberikan implikasi "pengutukan" terhadap kebanyakan sahabat Kerana mereka terlibat dengan pembunuhan Uthman. Hanya sebilangan kecil sahaja yang tidak terlibat.

Di antara bukti-bukti penafian "keadilan" (al-'Adalah) sahabat pada masa Nabi SAWA ialah seperti berikut:

1. Seorang lelaki menulis untuk Nabi SAWA. Dia membaca Surah al-Baqarah dan Surah Ali Imran: Nabi SAWA menyuruh dia menulis "ghafuran rahima" tetapi dia menulis ''aliman hakima". Maka Nabi SAWA berkata kepadanya: Tulislah….(apa yang disuruh). Lelaki itu berkata: Aku akan tulis apa yang aku mahu. Nabi SAWA menyuruh dia menulis "aliman hakima" maka lelaki itu menulis "sami'an basira". Dia berkata: Saya lebih mengetahui daripada kalian tentang Muhammad. Nabi SAWA bersabda: Bumi tidak akan menerimanya. Anas berkata: Abu Talhah memberitahuku bahawa dia telah pergi ke tempat lelaki itu ditanam, dan didapatinya tidak diterima oleh bumi. Lalu Abu Talhah bertanya: Apakah dengan keadaan lelaki itu? Mereka menjawab: Kami telah mengkebumikannya beberapa kali tetapi bumi tidak menerimanya. Ibn Kathir berkata: Hadith ini adalah mengikut syarat Bukhari dan Muslim tetapi keduaduanya tidak mencatatkannya di dalam Sahih-Sahih mereka.[15]

2. Al-Walid bin Uqbah bin Abi Mu'it [16] yang telah dinamakan oleh Allah sebagai fasiq ketika diutuskan oleh Nabi SAWA untuk memungut zakat daripada Bani Mustalaq. Dia pulang dan memberi tahu Nabi SAWA bahawa Bani Mustalaq telah keluar untuk memeranginya. Lalu Nabi SAWA bersiap sedia dengan tentera untuk memerangi mereka. Maka Allah berfirman:

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atau perbuatanmu itu."[17]

Dia adalah di kalangan sahabat, dan di manakah keadilan daripada seorang yang fasiq?


3. Al-Jadd bin Qais daripada Bani Salmah telah diturunkan ayat mengenaiNya.

FirmanNya:

"Di antara mereka ada orang yang berkata:"Berilah saya keizinan (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan saya terjerumus ke dalam fitnah." Ketahuilah bahawa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah. Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang kafir."[18]

4. Masjid Dirar.

Tahukah anda bahawa masjid Dirar telah dibina oleh golongan yang "mereka" panggil sahabat yang berpura-pura menunaikan sembahyang di dalam beberapa waktu kemudian Allah mendedahkan rahsia mereka dan ternyatalah perbuatan mereka. Sesungguhnya mereka adalah orang munafiq.

Allah berfirman:

"Dan orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan dan (kerana) kekafiran(nya), dan untuk memecah-belah antara orang-orang Mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah "kami tidak menghendaki selain kebaikan." Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta."[19]

Mereka terdiri daripada dua belas orang Munafiqin iaitu Khuzam bin Khalid bin Ubaid, Mu'tab bin Qusyair, Abu Habibah bin Abi Az'ar dan lain-lain.[20]

5. Tha'labah bin Hatib bin Umar bin Umayyah di antara orang yang turut berperang di dalam peperangan Badar dan Uhud. Dia tidak mahu mengeluarkan zakat hartanya. Lalu Allah berfirman: Dia tidak mahu mengeluarkan zakat hartanya. Lalu Allah berfirman:

"Dan di antara mereka ada orang yang telah berikrar kepada Allah:"Sesungguhnya jika Allah memberi sebahagian kurniaNya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang yang saleh."[21]

Tha'labah adalah sahabat yang sentiasa mengerjakan salat. Dia asalnya seorang yang miskin. Dia meminta rasululullah SAWA memohon kepada Allah untuknya. Dia berkata:"Pohonkanlah kepada Allah untukku supaya Dia mengurniakan harta yang banyak." Lalu Rasulullah SAWA bersabda:"Wahai Tha'labah harta yang sedikit yang kamu bersyukur lebih baik daripada harta yang banyak." Maka Tha'labah berkata:"Demi orang yang telah mengutuskan kamu dengan kebenaran sebagai seorang Nabi supaya kamu menyeru Allah supaya Dia mengurniakan rezeki yang banyak. Demi Allah aku akan memberi hak kepada orangnya." Lalu Rasulullah SAWA bersabda:"Wahai Tuhanku! Kurniakanlah Tha'labah harta, kemudian hartanya bertambah, tetapi dia tetap tidak mahu memberi zakat. Dan dia adalah termasuk orang yang
berbohong."[22]

6. Dhu al-Thadyah. Adalah seorang sahabat yang disegani kerana kuat beribadat. Tetapi Nabi SAWA mengarahkan supaya dia dibunuh. Nabi SAWA bersabda:

"Dia adalah seorang lelaki dimukanya terdapat tompok daripada syaitan. Beliau menghantar Abu Bakar untuk membunuhnya, manakala dia (Abu Bakar) melihatnya sedang sembahyang, dia kembali (tidak membunuhnya), lalu Nabi menghantar Umar, tetapi dia tidak membunuhnya. Kemudian beliau menghantar Ali AS tetapi dia tidak mendapatinya (dia telah pergi).[23]

7. Golongan yang mereka namakan sahabat juga telah berkumpul di rumah Suwailam. Lalu mereka menegah orang ramai datang kepada Rasulullah SAWA. Maka Rasulullah SAWA menyuruh supaya rumah tersebut dibakar.[24]

8. Qazman bin al-Harith telah ikut serta berperang di dalam Peperangan Uhud, bersama Nabi SAWA. Sahabat-sahabat yang lain berkata: "Tidak seorang pun daripada kami diberi pahala seperti yang diberikan kepadanya." Nabi SAWA menjawab: "Sesungguhnya dia daripada ahli neraka." Manakala beliau terluka, lalu jatuh, seorang berkata kepadanya: Tahniah kepada anda ke syurga. "Dia menjawab kepadanya: "Syurga daripada kutu. Demi Allah kami tidak berperang selain daripada mendapat ganjaran duniawi."[25]

9. Al-Hakim bin Abil-As bin Umaiyyah bin Abd Syams diusir dari Madinah dan dilaknati oleh Rasulullah SAWA. Dia adalah bapa kepada Marwan dan bapa saudara kepada Uthman bin Affan. Al-Fakihi telah memberitahu dengan sanad daripada az-Zuhri dan Ata' al-Khurasani bahawa sahabat-sahabat menziarahi Rasulullah SAWA ketika itu beliau sedang melaknati al-Hakam. Mereka bertanya: "Wahai Rasulullah ! Apakah dengannya? Rasulullah menjawab: "Dia memasuki (rumahku) melalui dinding yang pecah sedangkan aku bersama isteriku……"

Nabi SAWA berjalan di hadapan al-Hakam, lantas al-Hakam mencuitkan Nabi SAWA dengan anak jarinya (iaitu mempersendakannya). Lalu Nabi SAWA berpaling dan melihatnya dan berkata:"Wahai tuhanku jadikannya seorang yang tidak berguna." Kemudian dia (al-Hakam) segera lari dari tempatnya. Dia dinamakan Khait al-Batil "Benang Palsu." Rasulullah SAWA berkata kepadanya: "Celakalah umatku daripada keturunan lelaki ini."[26]

10. Apabila Rasulullah SAWA melawat Ka'ab pada masa sakitnya. Maka ibu Ka'ab pun berkata: "Tahniah ke syurga wahai Ka'ab." Rasulullah SAWA menjawab:"Apa sebab yang anda berpendapat sedemikian wahai ibu Ka'ab? Mana tahu Ka'ab telah mengucap apa yang tidak harus diucapkan."[27]

11. Al-Wahidi telah mencatatkan sebuah Hadith daripada Ibn Abbas mengenai firman Tuhan: "Dan sesungguhnya kami telah mengetahui orang-orang yang terdahulu daripadamu dan sesungguhnya kami mengetahui pula orang-orang yang terkemudian."[28] Beliau berkata; "Seseorang wanita cantik sedang sembahyang di belakang Rasulullah SAWA. Sebahagian sahabat berada di barisan depan supaya mereka tidak melihatnya. Dan sebahagian sahabat berada di barisan akhir, apabila mereka rukuk, mereka dapat melihat wanita tersebut menerusi ketiak mereka.[29] Lalu Allah berfirman: (al-Hijr:24).

12. Ibn Hanbal telah menulis di dalam Musnadnya daripada Abdullah bin Mas'ud daripada Nabi SAWA bersabda:

"Akulah yang mendahului kamu di Haud dan aku menentang mereka (aqwaman) kemudian aku akan mendapat kemenangan ke atas mereka dan aku akan berkata: Wahai Tuhanku! Sahabat-sahabatku! Dia akan berkata:"Kamu tidak mengetahui apa yang mereka telah lakukan (bid'ah) selepas kamu."[30]

Al-Turmidhi pula mencatatkan sebuah Hadith Nabi SAWA berbunyi:

"……Aku berkata: Wahai Tuhanku sahabat-sahabatku. Maka ia dijawab: Sesungguhnya kamu tidak mengetahui apa yang mereka telah lakukan (bid'ah) selepas kamu. Sesungguhnya sebahagian mereka sentiasa murtad* semenjak kamu meninggalkan mereka….."[31]

Semoga bukti-bukti yang dikemukakan itu tidaklah begitu panjang sehingga menjemukan pula. Oleh itu memadailah kamu menerangkan sebahagian kecil daripada bukti-bukti yang menafikan keadilan sahabat secara umum dan mutlak. Sebenarnya persahabatan (dengan Nabi SAWA) adalah suatu keistimewaan tetapi ianya bukanlah suatu kemaksuman kerana terdapat di kalangan mereka (sahabat) yang adil, wali-wali dan siddiqun. Mereka merupakan ulama ummah
dan pembawa Hadith Nabi SAWA sebagaimana juga terdapat di kalangan sahabat yang majhul al-hal tidak diketahui latar belakang mereka.[32]

Malah terdapat sahabat munafiq dan penjenayah-penjenayah sebagaimana firman Allah Ta'ala:

Terjemahan: "Di antara orang-orang Arab Badwi yang di sekelilingmu itu ada orang-orang munafiq, dan (juga) ada di antara penduduk Madinah. Mereka keterlaluan dalam kemunafiqannya. Kamu (Muhammad) tidak mengetahui mereka (tetapi) Kamilah yang mengetahui mereka. Nanti mereka akan Kami siksa dua kali kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar."[33]

Di kalangan sahabat ada yang menyakiti hati Rasulullah SAWA. FirmanNya:

"Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu bagi mereka azab yang pedih."[34]

Kepada Allah kita melepaskan diri kita daripada mereka dan daripada orang yang di dalam firmanNya:

"Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka halangi (manusia) dari jalan Allah kerana itu mereka mendapat azab yang menghinakan."[35]

Dan orang yang menipu sebagaimana firmanNya;

"Sesungguhnya orang-orang "munafiq" itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk bersolat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya' (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali.

Mereka di dalam keadaaan ragu-ragu antara yang demikian (iman atau kafir);tidak masuk keadaan golongan ini (orang-orang kafir). Barang siapa yang disesatkan Allah maka kamu sekali-kali tidak akan mendapat jalan (untuk memberi petunjuk) baginya."[36]

Al-Qur'an menerangkan dengan jelas tentang wujudnya golongan yang mendengar dakwah Rasulullah SAWA tetapi Allah mengunci hati mereka kerana mereka menurut hawa nafsu mereka. Dia berfirman:

"Dan di antara mereka ada orang yang mendengarkan perkataanmu sehingga apabila mereka keluar dari sisimu mereka berkata kepada orang yang telah diberi ilmu pengetahuan: Apakah yang dikatakan tadi? Mereka itulah orang-orang yang dikunci hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka."[37]

Sebagaimana juga Allah melaknati golongan yang terdapat di hati mereka "penyakit", dan mereka merosak di bumi dan memutuskan silatur-rahim.

FirmanNya:

"Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan dituliskanNya telinga mereka dan dibutakanNya penglihatan mereka. Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Qur'an ataukah hati mereka terkunci?[38]

Ya! Di manakah mereka itu selepas Rasulullah SAWA? Merekalah yang telah membuat Nabi SAWA menanggung penderitaan dan kesusahan di dalam hidupnya.[39]

Adakah keadaan mereka berubah selepas kewafatannya daripada nifaq kepada iman? Daripada kerosakan kepada kebaikan, daripada syak kepada yakin sehingga mereka termasuk ke dalam golongan sahabat yang adil, warak, taqwa, mulia diri, mempunyai keilmuan yang tinggi, lemah-lembut, berkorban di jalan Allah sebagaimana firmanNya:

Terjemahan: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar.[40]

Kami tidak syak kepada agama kami dan kami tidak menentang perkataaan yang benar di dalam menilai perbezaan kedudukan sahabat dan darjat mereka. Kerana kami akan mengikut sahabat yang benar sahaja. Dan kami akan mematuhi mereka yang bersifat dengan sifat-sifat yang mulia, sebagaimana diterangkan oleh Allah dan RasulNya. Begitu juga kami tidak mempercayai sahabat yang menjadi pengkhianat kepada Allah dan RasulNya. Kerana itu merupakan suatu penjenayahan dan suatu pengkhianatan terhadap Islam. Dan kami tidak cenderung kepada orang yang zalim daripada mereka.[41]

Dan kami menentang orang yang menentang Allah dan RasulNya. Inilah perkataan yang benar, dan perkataan yang benar itu lebih berhak diikuti.

* Maksud murtad yang tercatat di dalam hadith riwayat bukhari tersebut bukanlah bermaksud meninggalkan Islam walaupun tidak dapat dinafikan bahawa memang wujud dikalangan sahabat yang murtad (akan dibicarakan pada posting yang lain), namun Syiah memahami bahawa golongan Sahabat itu meninggalkan wilayah kepimpinan yang telah Nabi SAWW tetapkan kepada mereka.

p/s : bersambung, insya'allah..