Sunday, April 10

Syiah dan Sahabat (Part V ; Asad Haydar)

Berbagai pendapat mengenai definisi sahabat [42] telah dikemukakan. Ada pendapat yang mengatakan, "Sesiapa yang bersahabat dengan Nabi SAWA atau melihatnya daripada orang-orang Islam, maka ia adalah (tergolong) daripada sahabat-sahabatnya."

Definisi inilah yang dipegang oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya.[43]

Sementara gurunya Ali bin al-Madini berpendapat, "Sesiapa yang bersahabat dengan Nabi SAWA atau melihatnya, sekalipun satu jam di siang hari, adalah sahabatnya."

Definisi ini meliputi orang yang murtad pada masa hidup Nabi SAWA, dan selepasnya. Walau bagaimanapun setiap orang mempunyai pendapatnya sendiri, sekalipun ianya tidak masuk akal. Kerana al-Riddah (kemurtadan) itu menghapuskan amal. Lantaran itu "nama sahabat" tidak ada tempat baginya. Pendapat ini disokong oleh al-Syafi'i di dalam al-Umm.[44]

Manakala al-Zain al-Iraqi berkata: "Sahabat adalah sesiapa yang berjumpa dengan Nabi sebagai seorang Muslim, kemudian mati di dalam Islam."

Said bin Musayyab berpendapat, "Sesiapa yang tinggal bersama Nabi selama satu tahun atau
berperang bersamanya satu peperangan."

Pendapat ini tidak boleh dilaksanakan kerana ianya mengeluarkan sahabat-sahabat yang tinggal kurang daripada satu tahun bersama Nabi SAWA dan sahabat-sahabat yang tidak ikut berperang bersamanya.

Ibn Hajar berkata:"Definisi (sahabat) tersebut tidak boleh diterima."[45]

Ibn al-Hajib menceritakan pendapat 'Umru bin Yahya yang mensyaratkan seorang itu tinggal bersama Nabi dalam maa yang lama dan "mengambil (hadith) daripadanya.[46]

Ada juga pendapat yang mengatakan:"Sahabat adalah orang Muslim yang melihat Nabi SAWA dalam masa yang pendek. Walau bagaimanapun definisi-definisi tersebut menegaskan bahawa sesiapa yang mendengar daripada Nabi SAWA atau melihatnya daripada orang Islam secara mutlak mereka semuanya adil - mengikut pendapat mereka - dan mereka pula adalah Mujtahidin.

Inilah titik perbezaan pendapat mengenai sahabat. Justeru itu Syi'ah tidak menetapkan keadilan (al-'adalah) kepada sahabat melainkan kepada mereka yang benar-benar berhaknya: tidak ada dalil atau bukti bahawa setiap sahabat itu adil dan mujtahid. Lantaran itu ianya tidak boleh dipastikan. Syi'ah mengkaji perbuatan-perbuatan mereka dengan fikiran terbuka, dan menilai setiap sahabat, dengan berdasarkan perbuatan-perbuatannya. Syi'ah tidak menyalahi Kitab Allah, Sunnah RasulNya dan amal Salaf al-Salih di dalam menilai mereka mengenai perbezaan darjat sahabat dan orang yang benar-benar berhak nama sahabat. Lantaran itu tidak hairanlah jika Syi'ah dikecam dengan berbagai kecaman dan tuduhan yang direncanakan oleh musuh-musuh mereka. Jikalaulah di sana datangnya keinsafan, terbukanya fikiran, berdasarkan
hakikat, nescaya tuduhan-tuduhan itu tidak berlaku dan permasalahan-permasalahan dapat diselesaikan.

Apa yang anehnya ialah menuduh Syi'ah mencaci sahabat dan melaknat semua sahabat. Sedangkan mereka dikenali sebagai orang yang patuh kepada Ali AS, membantunya di dalam peperangan menentang penderhaka-penderhakanya, mereka adalah sebaik-baik umat.


Penghormatan Syi'ah Terhadap Sahabat


Syi'ah menghormati sahabat-sahabat Muhammad SAWA yang diuji dengan ujian yang baik di dalam membantu agama Islam, yang berjuang dengan jiwa raga dan harta mereka.

Sesungguhnya doa yang dibaca oleh Syi'ah untuk sahabat-sahabat Muhammad SAWA adalah bukti yang nyataa menunjukkan penghormatan dan kasih sayang mereka yang ikhlas.

Ya! Sesungguhnya Syi'ah berdoa kepada Allah untuk pengikut-pengikut para rasul secara umum dan sahabat-sahabat Muhammad SAWA secara khusus mengikut apa yang mereka warisi daripada imam-imam mereka yang al-Tahirin.

Di antara doa yang paling masyhur ialah doa Imam Ali Zainal al-Abidin AS sebagaimana tertulis di dalam Sahifah [47]nya yang dikenali dengan Zabur Muhammad:

"....Wahai Tuhanku cucurilah rahmatmu ke atas sahabat-sahabat Muhammad secara khusus, yang baik persahabatannya, yang telah diuji dengan ujian yang baik di dalam pertolongannya. Dan yang telah membantunya. Dan bersegera untuk menyambutkan, berlumba-lumba kepada seruannya. Dan yang menyahut seruannya sebaik sahaja dia memperdengarkan mereka hujah perutusannya. Dan yang telah ditinggalkan oleh suku keluarga kerana mereka berpegang dengan ikatannya, sehingga terlepas daripada mereka hak kerabat, kerana mereka berada di bayangan kekerabatannya (Muhammad SAWA). Wahai Tuhanku! Mereka tidak tinggal apa lagi untukMu dan padaMu, REDHAILAH mereka kerana KEREDHAANMU dan dengan apa yang mereka telah mempertahankan kebenaran ke atasMu. Mereka melakukan semua itu adalah untukMu dan kepadaMu. Dan aku berterima kasih kepada mereka kerana penghijrahan rumahtangga mereka kepadaMu dan keluarnya mereka daripada kesenangan hidup kepada kesusahannya...."


Mereka itu adalah sahabat-sahabat Muhammad SAWA yang dihormati oleh Syi'ah. Keluarga Muhammad SAWA terhutang budi kepada mereka. Mereka mengambil pengajaran Islam daripada sumber yang betul datangnya dari mereka (Ahlul Bayt).

Tetapi permainan politik dan api permusuhan di kalangan puak-puak telah melahirkan banyak permasalahan di masa lalu, di mana puak-puak tertentu bangkit untuk menyibarkan fitnah kerana cintakan kuasa dan tamak kepada pengaruh secara devide and rule (pecah dan perintah).
Ringkasnya zaman permainan politik sedemikian rupa, tidak begitu ketara lagi.

Kerana kita sekarang berada di zaman kebebasan pemikiran dan kemajuan. Adakah wajar bagi kita meneruskan kefanatikan tersebut? Dan bergembira dengan rancak kepuakan? Sedangkan kita jauh dari kenyataan dengan mengabaikan tanggungjawab kita bersama untuk menentang musuh-musuh Islam. Mereka menghalakan kepada kita segala bentuk pemikiran dan prinsip
yang rosak.

Alangkah baiknya kata-kata kesat tanpa kebenaran yang digunakan oleh orang-orang yang lemah akal dan mempunyai pandangan yang sempit Ahl al-Jumud dikikiskan terutamanya apabila mereka menulis tentang Syi'ah. Tidakkah ianya suatu kebenaran jika mereka mengkaji dakwaan mereka dengan teliti?

Sesungguhnya menuduh Syi'ah mencaci sahabat dan mengkafirkan mereka secara umum adalah tuduhan yang palsu, patuh kepada asabiyyah kepuakan yang berasaskan waham dan kebatilan.

No comments:

Post a Comment