Sunday, June 7

Dialog Hasan AS dan Mu'awiyah (Bhg 1)

Terjemahan dari "Dialog di antara Hassan b. Ali AS dan Mu'awiyah b. Abu Sufyan Serta Rakan-Rakannya Mengenai Soal Imamah dan Khilafah Menurut Catatan Al-Allamah Tabarasi


Pengenalan

Tuntutan Hasan b. `Ali terhadap jawatan khalifah selepas bapanya amatlah ketara meskipun pada akhirnya beliau terpaksa melepaskan jawatan tersebut demi menjaga dirinya, keluarganya serta Syi`ahnya dari ancaman Mu`awiyah b. Abi Sufyan. Di dalam perbincangan mereka mengenai Imamah/Khilafah, caci mencaci telah berlaku. Sekali pandang ia tidak harus berlaku kerana mereka tergolong di kalangan para sahabat Rasulullah s.`a.w. Apatah lagi cacian mereka terhadap Hasan b. `Ali di mana beliau dan bapanya merupakan Ahl al-Bait Rasulullah s.`a.w.


Mungkin kilauan dunia telah membuat manusia melupai Ahl al-Bait Rasulullah s.`a.w. Semuanya telah berlaku di dalam dunia Islam dan dicatat oleh para ulama dari golongan Ahl al-Sunnah dan Syi`ah. Persoalan yang timbul sekiranya para sahabat boleh mencaci sesama mereka, sementara orang lain yang bukan bertaraf sahabat tidak boleh menyebut dan menulis perbuatan mereka yang menyalahi nas, apakah keistimewaan mereka sehingga mereka diberi laluan yang istimewa sehingga boleh menyalahi Allah dan RasulNya?

Di sini diperturunkan hujah-hujah Hasan b. `Ali khususnya mengenai Imamah/Khilafah terhadap Mu`awiyah dan rakan-rakannya berdasarkan catatan al-`Allamah al-Tabarsi seorang ulama Mazhab Ja`fari abad keenam Hijrah di dalam bukunya al-Ihtijaj.[1] Untuk menguatkan hujah, penulis membuat rujukan kepada buku-buku para ulama Ahl al-Sunnah.

Diriwayatkan daripada al-Sya`bi, Abi Mikhnaf dan Yazid b. Habib al-Misri sesungguhnya mereka berkata: Tidak terdapat per­tengkaran dalam Islam satu hari di mana orang ramai berkumpul di satu majlis yang lebih riuh rendah dari majlis yang dihadiri oleh Mu`awiyah b. Abi Sufyan, `Amru b. `Uthman b. `Affan, `Amru b. al-`As, `Atbah b. Abi Sufyan, al-Walid b. `Uqbah b. Abi Mu`it, al-Mughirah b. Syu`bah, semua mempunyai nada yang sama.

`Amru b. al-`As berkata kepada Mu`awiyah: Kenapa anda tidak mengutus kepada Hasan b. `Ali supaya tampil ke mari, kerana beliau telah menghidupkan sunnah bapanya. Sepatu digerakkan di belakangnya, jika diperintah akan dipatuhi. Dia berkata: Percaya­lah, dua perkara ini akan mengangkatnya kepada perkara yang lebih besar daripada itu. Sekiranya anda mengutuskan kepadanya, nes­caya kami boleh menghinanya dan bapanya. Kami akan mencacinya dan bapanya. Kami akan memperkecilkannya dan bapanya. Kami boleh terus melakukannya sehingga beliau membenarkan anda menge­nainya.

Mu`awiyah berkata kepada mereka: Aku khuatir kalian akan dibelenggu kehinaan sehingga kalian memasuki kubur. Demi Tuhan, aku melihatnya dengan penuh kebencian. Lantaran itu aku akan memalukannya. Sesungguhnya jika aku mengutuskan kepadanya hanya­lah semata-mata bagi mengajarnya di hadapan kalian.[2]


`Amru b. al-`As berkata: Adakah anda khuatir kebatilannya mengatasi kebenaran kita, kesakitannya mengatasi kesihatan kita? Dia menjawab: Tidak. Dia berkata: Jikalaulah begitu keadaannya, maka jemputlah beliau kemari.


`Utbah berkata: Aku kurang pasti dengan pendapat ini. Demi Tuhan, kalian tidak akan mampu untuk menghadapinya tetapi beliau mampu untuk menghadapi kalian kerana beliau Ahl al-Bait yang handal berdebat. Lalu mereka menghantar utusan seorang lelaki kepada Hasan.

Apabila utusan itu sampai kepadanya, lantas dia berkata kepada Hasan: Mu`awiyah menjemput anda. Hasan bertanya: siapa bersamanya? Utusan itu menjawab: Di sisinya si polan dan si polan. Dia menyebut nama-nama mereka semua.

Hasan berkata: Malang untuk mereka dan azab akan mendatangi mereka dalam keadaan mereka tidak menyedarinya. Kemudian beliau berkata: Wahai jariah (hamba perempuan) hulurkan kain kepadaku. Kemudian beliau berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya dengan Engkau aku menolak ancaman mereka, aku pohon perlindungan dengan Engkau daripada kejahatan mereka, aku pohon pertolongan dengan Engkau ke atas mereka. Lantaran itu pertahankan aku daripada mereka menurut kehendak Engkau, bilamana Engkau kehendaki dengan segala kekuatan Engkau ya arhama al-Rahimin.

Beliau berkata kepada utusan itu: Ini adalah doa bagi mem­ohon kejayaan. Manakala mendatangi Mu`awiyah, beliau dialu-alukan oleh Mu`awiyah dan beliau berjabat tangan dengan Mu`awiyah.

Hasan A.S berkata: Sesungguhnya orang yang anda mengalu-alukan kedatangannya adalah satu keselamatan untuknya dan "berja­bat tangan" merupakan satu perdamaian. Mu`awiyah berkata: Ya! Mereka mengutuskan anda ke mari supaya anda memperakui bahawa sesungguhnya `Uthman telah dibunuh secara kejam dan sesungguhnya bapa andalah yang membunuhnya. Oleh itu dengarlah kata-kata mereka kemudian berilah jawapannya kepada mereka sebagaimana mereka berkata kepada anda. Walau bagaimanapun kedudukanku tidak menghalang anda dari memberi jawapan kepada mereka.


Hasan berkata: Subhanallah, rumah adalah rumah anda dan keizinan adalah terserah kepada anda! Demi Allah jika aku mem­beri jawapan kepada mereka menurut apa yang mereka kehendaki sesungguhnya aku terasa malu kepada anda untuk menerangkan keja­hatan anda. Dan jika mereka mengalahkan anda menurut apa yang anda kehendaki, sesungguhnya aku terasa malu kepada anda untuk menerangkan kelemahan anda. Justeru itu yang mana satu anda memperakuinya dan yang mana satu anda memohon maaf. Sesungguhnya jika aku mengetahui kedudukan dan pertemuan mereka, nescaya aku datang bersama Bani Hasyim seramai bilangan mereka. Disebabkan aku berkeseorangan, mereka akan lebih bertindak liar terhadapku. sesungguhnya Allah `Azza Wajalla waliku hari ini dan selepasnya. Lantaran itu perintahlah mereka dan biarlah mereka bercakap sesuatu, aku akan mendengarnya. Tidak ada kekuatan melainkan dengan Allah S.W.T.


`Amru b. `Uthman b. `Affan berkata: Kalau boleh aku tidak ingin mendengar seperti hari ini seorang pun daripada Bani `Abdu l-Muttalib selepas pembunuhan `Uthman. Sedangkan dia adalah sepupu mereka, mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam teru­tamanya di sisi Rasulullah (s.`a.w). Justeru itu sejahat-jahat penghormatan Allah terhadap mereka kerana mereka telah menga­lirkan darahnya secara permusuhan dan menabur fitnah, kerana hasad dengki mereka bagi menuntut apa yang bukan menjadi milik mereka. Apatah lagi dia di kalangan orang-orang yang terdahulu memeluk Islam dan kedudukannya yang tinggi di sisi Allah dan RasulNya. Alangkah hinanya jika Hasan dan seluruh Bani `Abdu l-Muttalib menjadi pembunuh `Uthman! Mereka masih hidup berjalan ke mana mana sedangkan `Uthman mati berlumuran darahnya. Di samping itu kami mempunyai hak bagi menuntut bela di atas sembi­lan belas darah Bani Umaiyyah yang dibunuh di Badr.


Kemudian `Amru b. al-`As berkata: Dia memuji Allah kemudian berkata: Di mana satu anak lelaki Abu Turab yang kami utuskan kepada anda bagi kami meminta pengakuan dari anda bahawa sesung­guhnya bapa andalah yang telah meracuni Abu Bakr al-Siddiq, bersubahat di dalam pembunuhan `Umar al-Faruq dan pembunuhan `Uthman dhi al-Nuraini secara zalim. Beliau menuntut (khalifah) bukan daripada haknya. Dan menabur fitnah mengenainya.


Kemudian dia berkata: Sesungguhnya kalian wahai Bani Abdu l-Muttalib, Allah tidak mengurniakan al-Mulk (pemerintahan) kepada kalian. Lantas kalian menguasai apa yang tidak halal bagi kalian. Anda wahai Hasan, anda mengatakan bahawa anda adalah Amir al-Mukminin, sedangkan anda tidak mempunyai daya fikir mengenai-nya. Lantaran itu tidak hairanlah jika aku meninggalkan si bodoh berada di kalangan Quraisy. Ini disebabkan perbuatan bapa anda yang jahat. Sesungguhnya kami menjemput anda adalah semata-mata untuk mencaci anda dan bapa anda. Justeru itu anda tidak mampu mencela kami apatah lagi membohongi kami menge­nainya. Tetapi sekiranya anda dapati kami membohongi kalian di dalam sesuatu perkara atau kami mengatakan sesuatu tentang anda dan sesuatu terhadap anda menyala­hi kebenaran, maka cakaplah jika tidak, ketahuilah bahawa sesungguhnya anda dan bapa anda adalah sejahat-jahat makhluk Allah. Adapun mengenai bapa anda memadailah Allah telah membunuhnya dan mengasingkannya. Adapun anda berada di dalam kekuasaan kami, kami boleh membuat pilihan. Demi Allah sekiranya kami membunuh kalian tidaklah (kami) berdosa di sisi Allah dan tidak mendatang­kan keaiban di sisi orang ramai.


Kemudian `Atbah bin Abu Sufyan berkata: Wahai Hasan, sesung­guhnya bapa anda adalah sejahat-jahat Quraisy bagi Quraisy. Dia telah memutuskan silat al-Rahim di kalangan Quraisy dan menga­lirkan darahnya. Sesungguhnya anda adalah di kalangan pembunuh-pembunuh `Uthman. Justeru itu kami berhak membunuh anda kerananya. Sesungguhnya anda wajib membayar ganti rugi sebagaimana disebutkan di dalam kitab Allah Azza Wajalla dan kamilah orang yang memerangi anda mengenainya. Adapun bapa anda, Allah telah membunuhnya dan ia sudah selesai. Adapun harapan anda bagi mendapatkan khilafah, maka anda bukanlah orang yang layak mengenainya di dalam semua segi.

Kemudian al-Walid bin `Uqbah bin Abi Mu`it bercakap lebih kurang kepada para sahabatnya dan dia berkata: Wahai Bani Hasyim! Kalianlah orang pertama yang telah mendedahkan keaiban `Uthman dan mengumpulkan orang ramai bagi menentangnya. Sehingga kalian membunuhnya kerana inginkan al-Mulk (pemerintahan), memutuskan Silat al-Rahim, membinasakan umat, mengalirkan darah mereka kerana mengejar pemerintahan, mengejar dunia yang buruk dan mencintainya, sedangkan `Uthman adalah bapa saudara kalian. Dia adalah ipar kalian dan sebaik-baik ipar. Sesungguhnya ka­lianlah orang pertama yang hasad kepadanya dan mencacinya. Kemudian kalian merencanakan pembunuhannya. Bagaimana pula kalian fikir tentang azab Allah terhadap kalian.


Kemudian Mughirah bin Syu`bah pula berkata: Wahai Hasan! Sesungguhnya `Uthman telah dibunuh secara zalim. Justeru itu bapa anda tidak dapat mengelakkan dirinya dari pembunuhan terse­but. Tetapi kami mengatakan bahawa bapa anda telah melindungi pembunuh-pembunuh `Uthman dengan berbagai cara. Sesungguhnya dia meredhai pembunuhan itu. Demi Allah dia mempunyai pedang dan lidah yang panjang. Dia membunuh orang yang hidup dan mencela orang yang mati.


Bani Umayyah lebih baik daripada Bani Hasyim daripada Bani Hasyim terhadap Umayyah. Mu`awiyah adalah lebih baik untuk anda wahai Hasan daripada anda untuk Mu`awiyah. Bapa anda telah menentang (nasaba) Rasulullah s.`a.w. pada masa hidupnya dan telah menutupinya sebelum kewafatannya dan ingin membunuhnya. Perkara tersebut diketahui oleh Rasulullah s.`a.w. kemudian dia benci memberi bai`ah kepada Abu Bakr sehingga dia bertindak balas, kemudian meracuninya sehingga mati. Selepas itu dia menentang `Umar sehingga dia berhasrat memotong tengkoknya. Kemudian dia menyokong pembunuhannya. Selepas itu dia mencaci `Uthman sehing­ga dia membunuhnya pula. Lantaran itu dia terlibat di dalam pembunuhan mereka. Manakah kedudukannya di sisi Allah wahai Hasan!

Sesungguhnya Allah telah menjadikan sultan (pemerintah) sebagai wali kepada orang yang dibunuh di dalam kitabNya. Justeru itu Mu`awiyah adalah wali orang yang dibunuh tanpa hak. Justeru itu adalah wajar jika kami membunuh anda dan saudara lelaki anda. Demi Allah darah `Ali tidaklah lebih berbahaya dari darah `Uth­man. Lantaran itu Allah tidak akan menghimpunkan pada kalian dua perkara wahai Bani `Abdu l-Muttalib, pemerintahan (al-Mulk) dan kenabian (al-Nubuwwah). Kemudian dia berdiam diri.


Lalu Hasan bin `Ali berkata: Segala puji bagi Allah yang telah memberi hidayat kepada orang yang awal kalian dengan orang yang awal kami dan orang yang akhir kalian dengan orang yang akhir kami. Salawat dan salam ke atas datukku Muhammad nabi dan keluarganya. Kalian dengarlah jawapanku dan kalian fahamilah baik-baik. Dengan andalah aku mulai wahai Mu`awiyah. Demi Tuhan wahai Azraq (Mu`awiyah) tidak seorang pun mencaciku selain dari­pada anda. Mereka itu tidak mencaciku. Tidak mencelaku selain daripada anda dan mereka itu tidak mencelaku tetapi anda telah mencela dan mencaciku. Itu adalah petanda kejahatan anda dan pendapat anda kerana memusuhi kami dan hasad dengki anda kepada kami serta permusuhan anda terhadap Muhammad s.`a.w. dahulu dan sekarang.

Demi Allah sekiranya aku dan mereka itu wahai Azraq berme­syuarat di Masjid Rasulullah s.`a.w. dan sekitar kami orang-orang Muhajirin dan Ansar, nescaya mereka tidak mampu bercakap sedemi­kian rupa dan mereka tidak mengalu-alukan kedatanganku sebegini. Justeru itu dengarlah daripadaku wahai kumpulan yang menentangku. Janganlah kalian menyembunyikan kebenaran yang kalian mengeta­huinya. Dan janganlah kalian membenarkan kebatilan sekiranya aku berkata mengenainya. Aku akan mulai percakapanku dengan anda wahai Mu`awiyah dan aku tidak akan berkata sesuatu pun melainkan ia bertepatan dengan anda.

1.Aku menyeru kalian dengan nama Allah, adakah kalian mengetahui bahawa lelaki yang kalian telah mencacinya itu adalah orang yang telah melakukan solat di hadapan dua kiblat. Dan anda telah melihat kedua-dua kitab kesesatan menyembah al-Lata dan al-`Uzza?[3] Dia juga telah mela­kukan dua bai`ah, bai`ah al-Ridwan dan bai`ah al-Fath sedangkan anda wahai Mu`awiyah, di bai`ah pertama kafir sementara di bai`ah kedua anda menarik balik bai`ah anda (nakithin).[4]

2. Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa sesungguhnya Rasulullah (s.`a.w.) telah mengepung Bani Quraidah dan Bani Nadhir kemudian beliau (s.`a.w.) mengutus `Umar b. al-Khattab bersama bendera Muhajirin dan Sa`d b. Mu`adh bersa­ma bendera Ansar. Adapun Sa`d b. Mu`adh pergi ke medan perang dan tercedera. Adapun `Umar telah lari dari medan peperangan. Dia mengatakan bahawa para sahabatnya pengecut tetapi para saha­batnya pula mengatakan dia adalah seorang yang pengecut.[5]


Lantas Rasulullah (s.`a.w.) bersabda: "Besok aku akan mem­beri bendera kepada seorang lelaki di mana dia mencintai Allah dan RasulNya, dan Allah dan RasulNya mencintainya terus mara tanpa lari kemudian terus berjuang sehingga Allah memberi keme­nangan melaluinya".[6]

Abu Bakr, `Umar serta orang-orang Muhajirin dan Ansar kurang senang mengenainya. `Ali pada masa itu mengidap penyakit mata. Rasul (s.`a.w.) menjemputnya lalu meniupkan di matanya lalu dia pun sembuh.[7] Kemudian beliau memberikan kepadanya satu bendera.[8] Dia pun pergi berjuang sehingga mendapat kemenangan dengan perto­longan Allah S.W.T. Sedangkan anda pada masa itu di Makkah adalah seorang musuh Allah dan RasulNya. Adakah sama di antara lelaki yang mencintai sesuatu kerana Allah dan RasulNya lelaki yang memusuhi Allah dan RasulNya?[9] Aku bersumpah dengan nama Allah bahawa hati anda tidak pernah menerima Islam, tetapi lidah anda takut. Oleh itu anda bercakap apa yang tidak ada di hati anda. Lihat umpamanya hadis Nabi s.`a.w. kepada `Ali A.S: " Tidak akan mencintai anda melainkan dia seorang mukmin, dan tidak membencikan anda melainkan dia seorang munafiq".[10]

3. Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa Rasulullah (s.`a.w.) telah melantiknya (`Ali) di Madinah ebelum peperangan Tabuk tanpa memarahi dan bencinya. Lalu orang-orang munafiq bercakap mengenainya. Maka beliau (`Ali) berkata: Janganlah anda meninggalkan aku wahai Rasulullah kerana aku tidak pernah meninggalkan anda di dalam mana-mana peperangan. Lantas Rasulullah (s.`a.w.) bersabda: Anda adalah wasiku, khali­fahku pada keluargaku samalah kedudukan Harun di sisi Musa". Kemudian beliau memegang tangan `Ali A.S seraya bersabda: "Wahai manusia! Siapa yang menjadikan aku wali, maka sesungguhnya dia telah menjadikan Allah wali. Dan siapa yang telah menjadikan `Ali wali maka dia telah menjadikan aku wali. Siapa yang telah mentaati aku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan siapa yang mentaati `Ali maka dia mentaati aku. Dan siapa yang mencintaiku, maka dia mencintai Allah. Dan siapa yang mencintai `Ali, maka dia telah mencintaiku".[11]


4. Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa sesungguhnya Rasulullah (s.`a.w.) bersabda pada Haji Wida`: " Wahai manusia sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kalian dan kalian tidak akan sesat selepasnya; Kitab Allah dan itrah Ahl l-Baitku. Justeru itu halalkanlah halalnya dan haramkanlah haramnya. Beramallah menurut muhkamnya dan berimanlah menurut mutasyabihahnya.

Dan katakanlah: Kami percaya apa yang telah diturunkan Allah (al-Kitab), cintailah Ahl l-Baitku dan itrahku. Hormatilah orang-orang yang mewalikan mereka. Tolonglah mereka bagi menentang musuh-musuh mereka. Sesungguhnya kedua-duanya akan sentiasa berada pada kalian sehinggalah dikembalikan ke atasku di Haud pada hari kiamat.[12]


Kemudian beliau menjemput `Ali ketika beliau berdiri di atas mimbar lalu menarik tangannya seraya bersabda: "Wahai Tuhanku, hormatilah orang yang mewalikannya, musuhilah orang yang menen­tangnya. Wahai Tuhanku, jangan jadikan di bumi ini tempat duduk penentang-penentang `Ali, dan di langit tidak ada tempat naik serta jadikanlah mereka di neraka yang terkebawah".[13]

5. Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa sesungguhnya Rasulullah (s.`a.w.) bersabda: Andalah orang yang boleh mencebok haudku di hari kiamat. Anda akan membekalkan air daripadanya sebagaimana seorang daripada kamu membekalkan " wanita asing " di tengah untanya".[14]


6. Aku menyeru kalian dengan nama Allah, adakah kalian mengetahui bahawa `Ali telah berjumpanya (s.`a.w.) ketika sakit yang membawa kewafatannya, maka Rasulullah (s.`a.w.) menangis. Lalu `Ali berkata: Apakah yang membuat anda menangis wahai Rasulullah? Beliau bersabda: "Apa yang membuatkan aku menangis adalah kerana keilmuanku bahawa hasad dengki masih membara di hati umat ini, tetapi mereka tidak berani menzahirkannya sehingga aku wafat".[15]


7. Aku menyeru kalian dengan nama Allah, adakah kalian mengetahui bahawa Rasulullah (s.`a.w.) ketika hampir wafat, Ahlu l-Baitnya berkumpul dan beliau bersabda: "Sesungguhnya Ahl al-Baitku pada kalian sepertilah bahtera Nuh. Siapa yang menaikinya berjaya dan siapa yang meninggalkannya tenggelam".[16]


8. Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa para sahabat Rasulullah (s.`a.w.) telah menerima wilayah `Ali pada masa Rasulullah dan pada masa hidupnya?[17]

9. Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian mengetahui bahawa sesungguhnya `Ali adalah orang yang pertama mengharamkan segala keinginan duniawi ke atas dirinya, lantas Allah `Azza Wajalla menurunkan ayat Surah al-Maidah 5: 88-89 "Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu kalian mengharamkan apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan makanlah makanan yang halal lagi baik daripada apa yang Allah telah rezekikan kepada kamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepadaNya".

Di sisinya segala jenis ilmu; ilmu mengenai hukum, kefasihan bercakap, keilmuan yang utuh dan sebab-sebab turunnya al-Qur'an.[18] Beliau adalah di kalangan kumpulan di mana kami tidak mengetahui mereka melengkapi sepuluh orang yang telah diberitahukan Allah bahawa mereka adalah Mukminin. Sedangkan kalian di kalangan kumpulan yang hampir bilangan mereka dilaknati Allah di atas lidah Rasulullah (s.`a.w.). Lantaran itu aku menjadi saksi untuk kalian dan menjadi saksi bagi menentang kalian; sesungguhnya kalian adalah orang-orang yang dilaknati Allah di atas lidah nabi-Nya.[19]

Catatan Kaki :

[1] Al-Tabarsi, Abu `Ali al-Fadil b. al-Hasan, al-Ihtijaj, Beirut 1403 H., I, hlm. 269-279.

[2] Sibt Ibn al-Jauzi, Tadhkirah al-Khawwas , Tunis 1972 M., hlm. 200.

[3] Sibt Ibn al-Jauzi, Tadhkirah al-Khawwas, hlm. 200; al-Turmudhi, Abu `Isa Muhammad b. `Isa b. Sawrah, Sunan al-Turmudhi, V, hlm. 642; al-Tabari, Abu Ja`far Muhammad b. Jarir, Tarikh al-Umam wa al-Muluk, Cairo 1956 M., II, hlm. 310.

[4] Ibid.

[5] Al-Bukhari, Abu `Abdullah Muhammad b. Ismail, Sahih Bukhari, Cairo 1348 H., III, hlm. 46; Al-Hakim al-Nisaburi, Muhammad b. `Abdullah, al-Mustadrak `ala al-Sahihain fi al-Hadith, Cairo, 1969 M., III, hlm. 37; al-Dhahabi, Abu `Abdullah Muhammad b. Ahmad b. `Uthman, al-Talkhis, Hyderabad, 1958 M., III, hlm. 37 dan lain-lain.

[6] Al-Khawarizmi, al-Manaqib, Cairo 1340 H., hlm. 232; Ibn Hajr al-`Asqalani, Lisan al-Mizan, VI, hlm. 237; al-Qunduzi al-Hanafi, Sulayman b. Ibrahim, Yanabi` al-Mawaddah fi Syama`il al-Nabi wa Fada`il Amir al-Mu'minin `Ali, Iran 1385 H., hlm. 132.

[7] Al-Khawarizmi, ibid., hlm. 148.

[8] Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi` al-Mawaddah, hlm. 81

[9] Sibt Ibn al-Jauzi, Tadhkirah al-Khawwas, hlm. 200-201.

[10] Al-Qunduri al-Hanafi, Yanabi’ al-Mawaddah, hlm. 112.

[11] Al-Wahidi, Asbab al-Nuzul, Cairo 1957 M., I, hlm. 422; al-Zamakhsyari, Abu al-Qasim Mahmud b. `Umar, al-Kasysyaf `an Haqa`iq Ghawamid al-Tanzil wa `Uyun al-Aqawil fi Wujuh al-Ta`wil, Cairo t.t., I, hlm. 422; al-Syablanji, Mu`min b. Hasan Mu`min, Nur al-Absar fi Manaqib al-Bayt al-Nabi al-Mukhtar (s.`a.w.), Cairo 1367 H., hlm. 105; al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-`Ummal, VI, hlm. 117.

[12] Muslim, Abu al-Husayn Muslim b. Hajjaj, Sahih Muslim, Cairo, 1311 H., II, hlm. 238; Ahmad b. Hanbal, al-Musnad, III, hlm. 17, 26, 59; IV, hlm. 367; al-Turmudhi, Sahih, II, hlm. 308.

[13]Ibn Hajr al-`Asqalani, Abu al-Fadl Ahmad b. `Ali b. Muhammad b. Muhammad, Tahdhib al-Tahdhib, Hyderabad 1327 H., XI, hlm.445; al-Kanji al-Syafi`i, Kifayah al-Talib, Tehran 1404 H., hlm. 116-117.

[14] Al-Khawarizmi, al-Manaqib, hlm. 143.

[15] Al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-`Ummal, VI, hlm. 408; al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, Baghdad 1950 M., XII, hlm. 397; al-Kanji al-Syafi`i, Kifayah al-Talib, hlm. 273.

[16] Al-Hakim, al-Mustadrak, II, hlm. 343; al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi` al-Mawaddah, hlm. 27.

[17] Al-Zamakhsyari, al-Kasysyaf, I, hlm. 422; al-Syablanji, Nur al-Absar, hlm. 105.

[18] Abu Nu`aim al-Asfahani, Hilyah al-Auliya' wa Tabaqat al-Asfiya', Cairo 1956 M., I, hlm. 67; al-Kanji al-Syafi`i, Kifayah al-Talib, hlm. 208-9.

[19] Al-Syablanji, Nur al-Absar, hlm. 89; al-Kanji al-Syafi`i, Kifayah al-Talib, hlm. 172-174.

No comments:

Post a Comment