Friday, April 8

Syiah dan Sahabat (Part IV ; Asad Haydar)


Keumuman Sahabat & Keistimewaan mereka

Di kalangan Sahabat, ada yang termasuk dalam golongan munafiq, orang yang melakukan fitnah dan orang yang menukarkan perkara-perkara tertentu bagi Rasulullah . Mereka melakukan penipuan sehingga datangnya kebenaran, dan perintah Allah, lalu mereka membencinya. Terdapat di kalangan mereka yang menyakiti Rasulullah dan disifatkan oleh Allah di dalam firmanNya yang bermaksud: "Di antara mereka ada yang menyakiti Nabi dan mengatakan: Nabi mempercayai semua apa yang di dengarnya."[6]

Dan firmanNya: "Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan RasulNya, Allah akan melaknatinya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan baginya seksa yang menghinakan."[7]

"Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu bagi mereka azab yang pedih."[8].

Terdapat di kalangan mereka penipu-penipu dan orang yang menzahirkan keimanan. Allah menyifatkan mereka di dalam firmanNya : "Di antara manusia ada yang mengatakan:Kami beriman kepada Allah dan Hari Kemudian; padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman;
padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar."[9]

"Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan "kami telah beriman." Dan bila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka mereka mengatakan: Sesungguhnya kami berpendirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok."[10]

"Dan di antara mereka ada orang yang telah berikrar kepada Allah: Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurniaNya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang-orang yang soleh. Maka setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari kurniaNya, mereka kikir dengan kurnia itu, dan berpaling, dan mereka
memanglah orang-orang yang selalu membelakangi (kebenaran). Maka Allah menimbulkan kemunafiqan pada hati mereka sampai kepada waktu mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri terhadap Allah apa yang mereka telah ikrarkan kepadaNya dan juga kerana mereka selalu berdusta."[11]

Wal-hal sahabat mempunyai kedudukan yang tinggi. Secara umumnya ianya mengandungi orang yang telah diuji hatinya dengan keimanan, keikhlasan terhadap Allah, berjuang dengan gigih dan telah mencapai darjat kesempurnaan diri. Maka mereka itu menjadi contoh bagi kemuliaan akhlak iaitu mereka yang takut kepada Allah dan mematuhi segala suruhanNya.

Sebagaimana firmanNya: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal (iaitu) orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka."[12]

Sebagaimana juga sahabat tidak termasuk orang yang imannya tidak memasuk hatinya.

FirmanNya:

"Mereka mengucapkan dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya."[13]

Oleh itu sahabat tidak maksum (terpelihara daripada dosa) sama ada pada masa hayat Nabi SAWA atau selepasnya. Terdapat sebuah Hadith dengan sanadnya diriwayatkan oleh Abu Abdullah al-Ansari daripada Abu Darda'. Dia berkata: Aku bertanya wahai Rasulullah sesungguhnya telah sampai kepadaku Hadith anda yang berbunyi:

"Akan murtad beberapa golongan selepas mereka beriman? Rasulullah SAWA menjawab: Ya! Tetapi anda bukanlah daripada mereka."[14]

Apa yang aneh ialah terdapat setengah orang memberikan alasan bahawa maksud dengan orang yang murtad itu ialah oang yang telah membunuh Uthman. Sedangkan Abu Darda' telah meninggal dunia sebelum pembunuhan Uthman. Ini memberikan implikasi "pengutukan" terhadap kebanyakan sahabat Kerana mereka terlibat dengan pembunuhan Uthman. Hanya sebilangan kecil sahaja yang tidak terlibat.

Di antara bukti-bukti penafian "keadilan" (al-'Adalah) sahabat pada masa Nabi SAWA ialah seperti berikut:

1. Seorang lelaki menulis untuk Nabi SAWA. Dia membaca Surah al-Baqarah dan Surah Ali Imran: Nabi SAWA menyuruh dia menulis "ghafuran rahima" tetapi dia menulis ''aliman hakima". Maka Nabi SAWA berkata kepadanya: Tulislah….(apa yang disuruh). Lelaki itu berkata: Aku akan tulis apa yang aku mahu. Nabi SAWA menyuruh dia menulis "aliman hakima" maka lelaki itu menulis "sami'an basira". Dia berkata: Saya lebih mengetahui daripada kalian tentang Muhammad. Nabi SAWA bersabda: Bumi tidak akan menerimanya. Anas berkata: Abu Talhah memberitahuku bahawa dia telah pergi ke tempat lelaki itu ditanam, dan didapatinya tidak diterima oleh bumi. Lalu Abu Talhah bertanya: Apakah dengan keadaan lelaki itu? Mereka menjawab: Kami telah mengkebumikannya beberapa kali tetapi bumi tidak menerimanya. Ibn Kathir berkata: Hadith ini adalah mengikut syarat Bukhari dan Muslim tetapi keduaduanya tidak mencatatkannya di dalam Sahih-Sahih mereka.[15]

2. Al-Walid bin Uqbah bin Abi Mu'it [16] yang telah dinamakan oleh Allah sebagai fasiq ketika diutuskan oleh Nabi SAWA untuk memungut zakat daripada Bani Mustalaq. Dia pulang dan memberi tahu Nabi SAWA bahawa Bani Mustalaq telah keluar untuk memeranginya. Lalu Nabi SAWA bersiap sedia dengan tentera untuk memerangi mereka. Maka Allah berfirman:

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atau perbuatanmu itu."[17]

Dia adalah di kalangan sahabat, dan di manakah keadilan daripada seorang yang fasiq?


3. Al-Jadd bin Qais daripada Bani Salmah telah diturunkan ayat mengenaiNya.

FirmanNya:

"Di antara mereka ada orang yang berkata:"Berilah saya keizinan (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan saya terjerumus ke dalam fitnah." Ketahuilah bahawa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah. Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang kafir."[18]

4. Masjid Dirar.

Tahukah anda bahawa masjid Dirar telah dibina oleh golongan yang "mereka" panggil sahabat yang berpura-pura menunaikan sembahyang di dalam beberapa waktu kemudian Allah mendedahkan rahsia mereka dan ternyatalah perbuatan mereka. Sesungguhnya mereka adalah orang munafiq.

Allah berfirman:

"Dan orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan dan (kerana) kekafiran(nya), dan untuk memecah-belah antara orang-orang Mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah "kami tidak menghendaki selain kebaikan." Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta."[19]

Mereka terdiri daripada dua belas orang Munafiqin iaitu Khuzam bin Khalid bin Ubaid, Mu'tab bin Qusyair, Abu Habibah bin Abi Az'ar dan lain-lain.[20]

5. Tha'labah bin Hatib bin Umar bin Umayyah di antara orang yang turut berperang di dalam peperangan Badar dan Uhud. Dia tidak mahu mengeluarkan zakat hartanya. Lalu Allah berfirman: Dia tidak mahu mengeluarkan zakat hartanya. Lalu Allah berfirman:

"Dan di antara mereka ada orang yang telah berikrar kepada Allah:"Sesungguhnya jika Allah memberi sebahagian kurniaNya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang yang saleh."[21]

Tha'labah adalah sahabat yang sentiasa mengerjakan salat. Dia asalnya seorang yang miskin. Dia meminta rasululullah SAWA memohon kepada Allah untuknya. Dia berkata:"Pohonkanlah kepada Allah untukku supaya Dia mengurniakan harta yang banyak." Lalu Rasulullah SAWA bersabda:"Wahai Tha'labah harta yang sedikit yang kamu bersyukur lebih baik daripada harta yang banyak." Maka Tha'labah berkata:"Demi orang yang telah mengutuskan kamu dengan kebenaran sebagai seorang Nabi supaya kamu menyeru Allah supaya Dia mengurniakan rezeki yang banyak. Demi Allah aku akan memberi hak kepada orangnya." Lalu Rasulullah SAWA bersabda:"Wahai Tuhanku! Kurniakanlah Tha'labah harta, kemudian hartanya bertambah, tetapi dia tetap tidak mahu memberi zakat. Dan dia adalah termasuk orang yang
berbohong."[22]

6. Dhu al-Thadyah. Adalah seorang sahabat yang disegani kerana kuat beribadat. Tetapi Nabi SAWA mengarahkan supaya dia dibunuh. Nabi SAWA bersabda:

"Dia adalah seorang lelaki dimukanya terdapat tompok daripada syaitan. Beliau menghantar Abu Bakar untuk membunuhnya, manakala dia (Abu Bakar) melihatnya sedang sembahyang, dia kembali (tidak membunuhnya), lalu Nabi menghantar Umar, tetapi dia tidak membunuhnya. Kemudian beliau menghantar Ali AS tetapi dia tidak mendapatinya (dia telah pergi).[23]

7. Golongan yang mereka namakan sahabat juga telah berkumpul di rumah Suwailam. Lalu mereka menegah orang ramai datang kepada Rasulullah SAWA. Maka Rasulullah SAWA menyuruh supaya rumah tersebut dibakar.[24]

8. Qazman bin al-Harith telah ikut serta berperang di dalam Peperangan Uhud, bersama Nabi SAWA. Sahabat-sahabat yang lain berkata: "Tidak seorang pun daripada kami diberi pahala seperti yang diberikan kepadanya." Nabi SAWA menjawab: "Sesungguhnya dia daripada ahli neraka." Manakala beliau terluka, lalu jatuh, seorang berkata kepadanya: Tahniah kepada anda ke syurga. "Dia menjawab kepadanya: "Syurga daripada kutu. Demi Allah kami tidak berperang selain daripada mendapat ganjaran duniawi."[25]

9. Al-Hakim bin Abil-As bin Umaiyyah bin Abd Syams diusir dari Madinah dan dilaknati oleh Rasulullah SAWA. Dia adalah bapa kepada Marwan dan bapa saudara kepada Uthman bin Affan. Al-Fakihi telah memberitahu dengan sanad daripada az-Zuhri dan Ata' al-Khurasani bahawa sahabat-sahabat menziarahi Rasulullah SAWA ketika itu beliau sedang melaknati al-Hakam. Mereka bertanya: "Wahai Rasulullah ! Apakah dengannya? Rasulullah menjawab: "Dia memasuki (rumahku) melalui dinding yang pecah sedangkan aku bersama isteriku……"

Nabi SAWA berjalan di hadapan al-Hakam, lantas al-Hakam mencuitkan Nabi SAWA dengan anak jarinya (iaitu mempersendakannya). Lalu Nabi SAWA berpaling dan melihatnya dan berkata:"Wahai tuhanku jadikannya seorang yang tidak berguna." Kemudian dia (al-Hakam) segera lari dari tempatnya. Dia dinamakan Khait al-Batil "Benang Palsu." Rasulullah SAWA berkata kepadanya: "Celakalah umatku daripada keturunan lelaki ini."[26]

10. Apabila Rasulullah SAWA melawat Ka'ab pada masa sakitnya. Maka ibu Ka'ab pun berkata: "Tahniah ke syurga wahai Ka'ab." Rasulullah SAWA menjawab:"Apa sebab yang anda berpendapat sedemikian wahai ibu Ka'ab? Mana tahu Ka'ab telah mengucap apa yang tidak harus diucapkan."[27]

11. Al-Wahidi telah mencatatkan sebuah Hadith daripada Ibn Abbas mengenai firman Tuhan: "Dan sesungguhnya kami telah mengetahui orang-orang yang terdahulu daripadamu dan sesungguhnya kami mengetahui pula orang-orang yang terkemudian."[28] Beliau berkata; "Seseorang wanita cantik sedang sembahyang di belakang Rasulullah SAWA. Sebahagian sahabat berada di barisan depan supaya mereka tidak melihatnya. Dan sebahagian sahabat berada di barisan akhir, apabila mereka rukuk, mereka dapat melihat wanita tersebut menerusi ketiak mereka.[29] Lalu Allah berfirman: (al-Hijr:24).

12. Ibn Hanbal telah menulis di dalam Musnadnya daripada Abdullah bin Mas'ud daripada Nabi SAWA bersabda:

"Akulah yang mendahului kamu di Haud dan aku menentang mereka (aqwaman) kemudian aku akan mendapat kemenangan ke atas mereka dan aku akan berkata: Wahai Tuhanku! Sahabat-sahabatku! Dia akan berkata:"Kamu tidak mengetahui apa yang mereka telah lakukan (bid'ah) selepas kamu."[30]

Al-Turmidhi pula mencatatkan sebuah Hadith Nabi SAWA berbunyi:

"……Aku berkata: Wahai Tuhanku sahabat-sahabatku. Maka ia dijawab: Sesungguhnya kamu tidak mengetahui apa yang mereka telah lakukan (bid'ah) selepas kamu. Sesungguhnya sebahagian mereka sentiasa murtad* semenjak kamu meninggalkan mereka….."[31]

Semoga bukti-bukti yang dikemukakan itu tidaklah begitu panjang sehingga menjemukan pula. Oleh itu memadailah kamu menerangkan sebahagian kecil daripada bukti-bukti yang menafikan keadilan sahabat secara umum dan mutlak. Sebenarnya persahabatan (dengan Nabi SAWA) adalah suatu keistimewaan tetapi ianya bukanlah suatu kemaksuman kerana terdapat di kalangan mereka (sahabat) yang adil, wali-wali dan siddiqun. Mereka merupakan ulama ummah
dan pembawa Hadith Nabi SAWA sebagaimana juga terdapat di kalangan sahabat yang majhul al-hal tidak diketahui latar belakang mereka.[32]

Malah terdapat sahabat munafiq dan penjenayah-penjenayah sebagaimana firman Allah Ta'ala:

Terjemahan: "Di antara orang-orang Arab Badwi yang di sekelilingmu itu ada orang-orang munafiq, dan (juga) ada di antara penduduk Madinah. Mereka keterlaluan dalam kemunafiqannya. Kamu (Muhammad) tidak mengetahui mereka (tetapi) Kamilah yang mengetahui mereka. Nanti mereka akan Kami siksa dua kali kemudian mereka akan dikembalikan kepada azab yang besar."[33]

Di kalangan sahabat ada yang menyakiti hati Rasulullah SAWA. FirmanNya:

"Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu bagi mereka azab yang pedih."[34]

Kepada Allah kita melepaskan diri kita daripada mereka dan daripada orang yang di dalam firmanNya:

"Mereka menjadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka halangi (manusia) dari jalan Allah kerana itu mereka mendapat azab yang menghinakan."[35]

Dan orang yang menipu sebagaimana firmanNya;

"Sesungguhnya orang-orang "munafiq" itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk bersolat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya' (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali.

Mereka di dalam keadaaan ragu-ragu antara yang demikian (iman atau kafir);tidak masuk keadaan golongan ini (orang-orang kafir). Barang siapa yang disesatkan Allah maka kamu sekali-kali tidak akan mendapat jalan (untuk memberi petunjuk) baginya."[36]

Al-Qur'an menerangkan dengan jelas tentang wujudnya golongan yang mendengar dakwah Rasulullah SAWA tetapi Allah mengunci hati mereka kerana mereka menurut hawa nafsu mereka. Dia berfirman:

"Dan di antara mereka ada orang yang mendengarkan perkataanmu sehingga apabila mereka keluar dari sisimu mereka berkata kepada orang yang telah diberi ilmu pengetahuan: Apakah yang dikatakan tadi? Mereka itulah orang-orang yang dikunci hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka."[37]

Sebagaimana juga Allah melaknati golongan yang terdapat di hati mereka "penyakit", dan mereka merosak di bumi dan memutuskan silatur-rahim.

FirmanNya:

"Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan dituliskanNya telinga mereka dan dibutakanNya penglihatan mereka. Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Qur'an ataukah hati mereka terkunci?[38]

Ya! Di manakah mereka itu selepas Rasulullah SAWA? Merekalah yang telah membuat Nabi SAWA menanggung penderitaan dan kesusahan di dalam hidupnya.[39]

Adakah keadaan mereka berubah selepas kewafatannya daripada nifaq kepada iman? Daripada kerosakan kepada kebaikan, daripada syak kepada yakin sehingga mereka termasuk ke dalam golongan sahabat yang adil, warak, taqwa, mulia diri, mempunyai keilmuan yang tinggi, lemah-lembut, berkorban di jalan Allah sebagaimana firmanNya:

Terjemahan: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar.[40]

Kami tidak syak kepada agama kami dan kami tidak menentang perkataaan yang benar di dalam menilai perbezaan kedudukan sahabat dan darjat mereka. Kerana kami akan mengikut sahabat yang benar sahaja. Dan kami akan mematuhi mereka yang bersifat dengan sifat-sifat yang mulia, sebagaimana diterangkan oleh Allah dan RasulNya. Begitu juga kami tidak mempercayai sahabat yang menjadi pengkhianat kepada Allah dan RasulNya. Kerana itu merupakan suatu penjenayahan dan suatu pengkhianatan terhadap Islam. Dan kami tidak cenderung kepada orang yang zalim daripada mereka.[41]

Dan kami menentang orang yang menentang Allah dan RasulNya. Inilah perkataan yang benar, dan perkataan yang benar itu lebih berhak diikuti.

* Maksud murtad yang tercatat di dalam hadith riwayat bukhari tersebut bukanlah bermaksud meninggalkan Islam walaupun tidak dapat dinafikan bahawa memang wujud dikalangan sahabat yang murtad (akan dibicarakan pada posting yang lain), namun Syiah memahami bahawa golongan Sahabat itu meninggalkan wilayah kepimpinan yang telah Nabi SAWW tetapkan kepada mereka.

p/s : bersambung, insya'allah..

Syiah dan Sahabat (Part III ; Asad Haydar)


Syiah dengan erti kata sering disinonimkan dengan ungkapan,"suka menghina, mencaci dan mengkafirkan golongan sahabat". Fenomena tuduhan membabi buta ke atas Syiah ini sudah menjadi kebiasaan bagi golongan Ahli Sunnah yang jahil mengenai Syiah itu sendiri dengan hanya melakukan pengkajian terhadap sumber pihak kedua yang kebanyakannya bersifat prejudis terhadap Syiah. Perkara ini menyebabkan Syiah sering disalah tanggapi berkurun zaman lamanya sehinggalah masyarakat dewasa kini sekaligus masyarakat terkeliru lalu mereka menghukum Syiah Kafir disebabkan menolak para Sahabat. Realitinya, tanggapan ini adalah suatu tanggapan yang dangkal dan jauh sekali daripada hakikat sebenar pandangan Syiah terhadap golongan yang dinamakan Sahabat. Saya mendapat dimaklumkan daripada ramai sahabat saya yang mengikuti mana-mana bengkel atau seminar di negara ini khususnya mengenai isu Syiah kesemuanya berhujah dengan hujah yang sama dan lansung tiada hubungan dengan Syiah bahkan bersifat fitnah semata-mata.

Samada dari kalangan golongan ustaz2, profesor2, pegawai jabatan agama, kesemuanya tidak cermat dan berhikmah dengan berhujah mengenai Syiah. Saya berani cabar mana-mana pihak yang merasakan bahawa dakwaan mereka terhadap Syiah mengkafirkan sahabat itu benar supaya mengemukakan mana-mana nas yang sarih dikeluarkan dari mana-mana kitab syiah mahupun dikalangan marja' Syiah yang sah yang mengatakan bahawa sahabat itu kafir atau mereka mencaci sahabat!!! Golongan ini kebanyakannya gagal memahami metod asas bagi pengambilan sumber di kalangan Syiah itu sendiri lalu dengan mudahnya mereka mengelurkan pelbagai dakwaan dan tomahan yang tidak berasas. Atas dasar tersebut, saya rasa terpanggil untuk menjelaskan perkara tersebut, antaranya dengan mengeluarkan pandangan daripada Syaikh Asad Haydar dalam kitabnya Al-Syiah wa al-Sahabah. Beirut. 1980. Semoga beroleh manfaat dan selamat mengikuti kupasan ini.


Kita berada di hadapan permasalahan yang besar di mana sejarah berdiri di hadapannya di dalam keadaaan terbelenggu. Kebenarannya tersembunyi di sebalik dakwaan-dakwaan yang palsu. Dan perkataan-perkataan yang kosong telah menutupi jalan-jalan yang membawanya kepada kebenaran. Sebagaimana di sekitarnya pula diukir dengan berbagai-bagai permasalahan dan kesamaran. Ianya tidak dikaji secara ilmiah supaya pokok persoalan menjadi terang dan kebenaran itu akan lahir dengan sewajarnya.

Walau bagaimanapun, sebahagian para sejarahwan mencela Syiah. Dan mengaitkan perkara-perkara tertentu kepada mereka tanpa penelitian. Mereka menulis tanpa ikatan dan syarat; menuduh Syiah tanpa perasaan keagamaan atau pendinding sentimen. Tuduhan yang terpenting ialah mengenai persoalan sahabat dan mentakfirkan mereka (mengkafirkan mereka) - semoga dijauhi Allah Ta'ala - yang mewajibkan hukuman kafir ke atas mereka dan menghukum mereka terkeluar daripada agama Islam sebagaimana berikut:

Berkata al-Sayyid Syarafuddin al-Musawi: "Sesungguhnya sesiapa yang mengkaji pendapat kami mengenai sahabat, nescaya dia akan mengetahui sesungguhnya pendapat kami adalah yang paling sederhana. Kerana kami tidak melampaui mengenainya sebagaimana yang dilakukan oleh pelampau-pelampau yang mengkafirkan semua sahabat. Begitu juga kami tidak melampaui jumhur yang mempercayai semua sahabat."Ahlul Sunnah berkata: "Setiap Muslim yang mendengar Nabi atau melihatnya adalah adil secara mutlak."


Kami berpendapat sekalipun sahabat mempunyai kelebihan tetapi ianya bukanlah maksum. Lantaran itu sahabat seperti orang lain ada yang adil, ada yang derhaka, ada yang melakukan jenayah. Dan malah terdapat sahabat yang tidak dikenal pasti latar belakang mereka. Oleh itu kami berhujah berdasarkan keadilan mereka. Kami menghormati mereka di dunia dan di akhirat. Adapun penderhaka-penderhaka dan penjenayah-penjenayah seperti Ibn Hind, Ibn Nabighah, Ibn al-Zirqa', Ibn Uqbah, Ibn Arta't, dan orang seumpama mereka, tentu sekali tidak ada penghormatan bagi mereka, tidak ada penilaian terhadap Hadith-Hadith mereka. Adapun yang tidak diketahui latar belakang mereka, kami berdiam diri sehingga kami dapat meneliti keadaan mereka yang sebenar.

Ini adalah pendapat kami mengenai pembawa-pembawa Hadith (yang terdiri daripada sahabat), al-Kitab, dan Sunnah, kami berpandukan kepada pendapat ini sebagaimana diterangkan dengan terperinci di dalam Usul al-Fiqh. Tetapi jumhur melampaui di dalam mentakdiskan (mensucikan)setiap orang yang mereka namakan sahabat sehingga mereka terkeluar daripada kesederhanaan. Mereka mengikut setiap Muslim yang mendengar daripada Nabi SAWA atau melihatnya dengan ikutan buta lantas mereka menentang orang yang tidak sehaluan dengan pendapat mereka dalam soal ini. Lihatlah betapa kuatnya penentangan mereka terhadap kami manakala mereka mengatakan kami menolak Hadith (sebahagian) sahabat dengan menerangkan "kecacatan" mereka (al-jarh) atau latara belakang mereka yang tidak diketahui. Tetapi apa yang kami lakukan adalah semata-mata mengikut amalan syarak di dalam penyelidikan mengenai "hakikat-hakikat keagamaan" dan kajian di dalam penentuan Hadith-Hadith yang sahih.

Justeru itu mereka (jumhur) telah melakukan syak wasangka terhadap kami, Mereka menuduh kami perkara yang bukan-bukan lalu mereka meraba-raba di dalam kejahilan. Andainya mereka kembali kepada "kaedah-kaedah ilmu" nescaya mereka akan mengetahui bahawa penetapan keadilan kepada sahabat adalah tidak berasas. Sekiranya mereka mengkaji al-al-Qur'an nescaya mereka dapati bahawa orang munafiq itu dikira sahabat. Perhatilah Surah al-Taubah dan Surah al-Ahzab.

Persoalan Sahabat

Walau bagaimanapun pokok permasalahan terbahagi kepada tiga:

1. Sahabat semuanya adil, dan mereka adalah para mutjahid. Ini adalah pendapat jumhur Ahlul Sunnah.

2. Sahabat seperti orang lain, ada yang adil, dan ada yang fasiq kerana mereka dinilai berdasarkan perbuatan mereka. Oleh itu yang baik diberi ganjaran kerana kebaikannya. Sebaliknya yang jahat dibalas dengan kejahatannya. Ini adalah pendapat Syiah.

3. Semua sahabat adalah kafir - semoga dijauhi Allah Ta'ala - ini adalah pendapat Khawarij yang terkeluar daripada Islam. Ianya tidak akan dilupakan selain daripada orang yang kafir.

Tiga pokok kepada persoalan sahabat itu hendaklah dikaji secara mendalam. Adapun pendapat yang ketiga adalah terbatal secara ijmak, kerana ianya hanya diucapkan oleh musuh-musuh islam. Pendapat pertama (seakan-akan) mendakwa ismah terhadap sahabat atau jatuhnya takalif daripada mereka. Ini adalah perkara yang tidak diakui oleh Islam dan tidak termasuk di dalam ajaran-ajarannya.

Pendapat kedua ialah pendapat yang dipegang oleh Syiah iaitu menilai darjat sahabat berdasarkan amalan dan darjat keimanan mereka. Kerana sahabat adalah umum bagi setiap orang yang bersahabat dengan Nabi SAWA atau melihatnya, atau mendengar (Hadith) daripadanya. Oleh itu ianya mengandungi Mukmin dan munafiq, yang adil dan yang fasiq, yang
baik dan yang jahat.

Sebagaimana sabda Nabi SAWA di dalam peperangan Tabuk apabila beliau diberitahu oleh Jibra'il mengenai apa yang diucapkan oleh munafiqin:"Sesungguhnya Muhammad boleh menceritakan berita-berita di langit. Sedangkan beliau tidak mengetahui "jalan" untuk mendapatkan air." Rasulullah SAWA memberitahu kata-kata itu kepada Sa'ad bin Ubadah. Maka Sa'ad berkata kepadanya: "Jika anda mahu nescaya aku akan pancung tengkuk mereka. Rasulullah SAWA bersabda: "Supaya orang ramai tidak akan berkata: Sesungguhnya Muhammad membunuh sahabat-sahabatnya tetapi sebaliknya kita bergaul dengan mereka secara baik selama mereka (berada) bersama kita [1]".

Oleh itu sahabat semata-mata bukanlah maksum, yang boleh memakai tuannya dengan pakaian keadilan (al-Adalah). Sebaliknya kedudukan mereka berbeza dan darjat mereka berlainan berdasarkan amalan mereka. Kami mempunyai dalil-dalil yang kuat daripada al-Qur'an dan Hadith-Hadith Rasulullah SAWA bagi menyokong pendapat kami. Tetapi ianya tidak dinafikan terdapat di kalangan mereka yang bersifat adil yang terdiri daripada orang yang menepati apa yang mereka telah janjikan kepada Allah, mempunyai aqidah yang kuat dan ikhlas kepada Allah.

Oleh itu mereka mempunyai setinggi-tinggi darjat kesempurnaan. Mereka disifatkan oleh Allah di dalam firmanNya,"….keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka: kami lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaanNya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dan bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunas itu menjadikan tanamannya itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya: tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir. Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan saleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar."

"Dan mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar [2]."

Sesungguhnya Allah menyuruh mengikut mereka di dalam firmanNya: "Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar [3]."

Dan firmanNya yang bermaksud: "Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikut mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah
menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar [4]."

Mereka itu adalah sahabat Muhammad SAWA. Siapakah yang berani mengatakan kepada mereka apa yang tidak diredhai Allah [5] dan menyalahi firmanNya!

Syiah dan Sahabat (Part II ; Pandangan Ayatullah Ja'far Subhani perihal Sahabat)

Ayatullah Jaafar Subhani dalam kuliah tafsir surah al-Hasyr di Madrasah 'Ali Fiqh pernah berkata, "Hanya orang yang tidak berpelajaran sahaja yang menganggap sahabat nabi bersikap adil dari awal sampai akhir hayat mereka, atau mengatakan riwayat daripada mereka itu muktabar. Meskipun Syiah memberi penghormatan kepada mereka, ini bukanlah alasan untuk menutup mata dan memuktabarkan riwayat daripada sahabat." Beliau menambah, tidak seperti fitnah yang tersebar luas, Syiah juga mengasihi mereka namun sebahagian pembohongan menuduh syiah mengkafirkan sahabat."

"Kekafiran dan keadilan adalah dua masalah entiti yang berbeza dan tidak boleh kedua-duanya dicampur adukkan. Pada pandangan Syiah dikalangan sahabat lebih dari 70 peratus mereka itu bertaqwa dan berlaku adil, namun sebilangan daripada mereka ada juga bersikap tidak adil. Tidak adil dan kafir sangat jauh bezanya."

"Bagaimana mungkin Syiah mengkafirkan semua sahabat sedangkan lebih 150 orang daripada kalangan mereka itu adalah pengikut Ali (as). Oleh itu hendaklah mereka yang membuat tuduhan itu takut kepada Allah dan tidak berdusta lagi." tambah beliau.

Berkenaan riwayat-riwayat Ahlusunnah seperti di dalam Sahih Bukhari beliau mengatakan, "Dalam kitab Sahih Bukhari sebahagian riwayat menunjukkan kemurtadan para sahabat. Syiah menganggap kemurtadan ini adalah berpaling dari kepimpinan, bukannya keluar dari Islam. Oleh itu barangsiapa yang membuat tuduhan liar terhadap Syiah, mereka itu dikira tidak berpelajaran."

Merujuk kepada beberapa peristiwa bersejarah tentang ketidak adilan sebahagian para sahabat, ulama tafsir ini menjelaskan, "Sejarah menunjukkan bahawa sahabat Nabi beberapa kali mengingkari baginda dan banyak ayat telah turun untuk memberi hidayat dan menghalang mereka dari kesesatan dan kefasikan yang mana teladan itu dapat disaksikan dalam surah al-Hasyr."

Ayatullah Subhani menegaskan, "Sebahagian khutbah Nabi dan peperangan setelah wafat baginda seperti perang Jamal, Nahrawan dan..... perkara ini membuktikan sebahagian para sahabat terjebak seperti apa yang dirisaukan baginda dan gugurlah keadilan dari mereka itu."

Menurut beliau lagi, "Allah (swt) mendifinisikan sifat dan ciri-ciri para sahabat di dalam berbagai ayat, namun jelas sekali definisi itu tidaklah meliputi semua sahabat namun kebanyakan daripada mereka termasuk di dalamnya."

"Maksud ayat-ayat seperti ini ialah sahabat hakiki yang memiliki sifat dan personaliti seperti ini sahaja, bukan bermaksud pakaian keadilan dan kesucian dibusanakan ke tubuh semua sahabat." menurut beliau lagi.